Syaitan adalah kelompok jin yang jahat. Syaitan adalah nama yang Allah berikan kepada jin dan manusia yang jahat. Ini dinyatakan dalam surah al-An'am ayat 112, "Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin..."
Walaupun kedapatan jin yang beragama Islam tetapi sekiranya melanggar perintah Allah, maka ia dikategorikan sebagai syaitan. Rasullulah bersabda, "Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang Islam, sekiranya kamu melihat mereka (di rumah kamu), maka berilah amaran selama tiga hari. Sekiranya dia masih berada selepas ini (selepas tiga hari) bunuhlah dia kerana itu adalah syaitan." (Riwayat Muslim)
Dalil di atas menunjukkan syaitan terdiri daripada jin dan manusia yang melawan perintah Allah serta mengajak kepada kemungkaran. Sifatnya adalah memusuhi dakwah para Nabi walaupun agama anutannya Islam sementelah lagi sekiranya mereka kafir.
Siapakah pula iblis?
Iblis bermula daripada jin yang bernama Azazil. Azazil adalah ketua masyarakat jin ketika Allah menciptakan Nabi Adam. Penentangan iblis kepada perintah Allah berpunca daripada perasaan sombong dan dengki kepada Adam dan manusia keseluruhannya. Azazil berasa kejadiannya lebih mulia daripada penciptaan manusia dan berpendapat golongan jin yang sepatutnya mentadbir bumi kerana mereka telah menghuni bumi 40 ribu tahun lebih awal daripada manusia. Azazil dikatakan mempunyai dua jantina. Daripadanya lahir keturunan iblis. Mereka semuanya tidak beriman dan mengepalai jin yang lain dalam usaha menyesatkan manusia.
Kesimpulannya, iblis adalah golongan jin sementara syaitan merupakan gelaran kepada mereka yang menentang Islam yang terdiri daripada jin dan manusia.
Kumpulan iblis membentuk satu kerajaan yang diketuai oleh Azazil yang tidak mati sehingga hari kiamat sementara keturunannya pula berusia panjang melebihi ribuan tahun. Terdapat lima jenis iblis yang paling kuat dan berpengaruh iaitu Tsabar, Dasim, al-A'war, Maswath dan Zainabut.
TSABAR berperanan menyesatkan orang yang ditimpa musibah. Tsabar membisikkan keluh-kesah dan menyalahkan ketentuan Allah kepada musibah yang dialami oleh manusia.
DASIM pula kumpulan yang berperanan memusnahkan kerukunan rumah tangga. Ia menyuburkan rasa benci, curiga, dan cemburu di antara pasangan suami isteri. Maka terjadilah pertengkaran yang diakhiri dengan penceraian.
AL-A'WAR menggalakkan perlakuan zina dan keruntuhan moral. Ia menaikkan syahwat kepada tubuh wanita yang bukan mahram. Wanita yang tidak menutup aurat merupakan antara kejayaan al-A'war. Apabila lelaki berdua-duaan dengan wanita bukan mahram maka al-A'war akan menggoda hati mereka ini ke arah penzinaan.
MASWATH adalah kumpulan iblis yang mencetuskan pembohongan dan fitnah. Ia memberikan idea penipuan dan membantu menyebarkan fitnah di kalangan manusia. Mana-mana media elektronik dan cetak yang disebarkan kepada manusia adalah tempat yang digemari oleh Maswath.
ZALNABUR adalah kumpulan iblis yang mengunjungi tempat-tempat manusia berkumpul seperti mesyuarat agung, perhimpunan keluarga dan diskusi berkumpulan. Ia akan membisikkan kata-kata yang mewujudkan permusuhan dan perselisihan. Ini menyebabkan hilangnya kesatuan dan adakalanya sehingga berlaku pergaduhan dan pembunuhan.
Al-Quran dan hadis menyebut kumpulan ini berdasarkan kepada perangai mereka seperti Ifrit, al-Marid, al-Awamir dan al-Arwah.
IFRIT adalah golongan jin yang cerdik. Ifrit pernah menawarkan kepada Nabi Sulaiman untuk mengangkat istana Balqis sebelum Nabi Sulaiman sempat berdiri dari tempat duduknya sepertimana tercatat dalam surah al-Naml ayat 39 "Berkatalah 'Ifrit daripada golongan jin: Aku akan membawanya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu..."
AL-MARID adalah kelompok jin yang degil.
AL-AWAMIR pula kelompok jin yang gemar tinggal di rumah atau bangunan.
AL-ARWAh pula jin yang suka mengganggu kanak-kanak dan dikenali juga sebagai 'ummu sibyan'.
Selain itu, ada yang mengkategorikan jenis jin mengikut simpton-simpton gangguan. Sebagai contoh jin api, jin asyik, jin saka, jin kubur, jin rumah, toyol, jin tempel, jin pintar dan banyak lagi.
Petikan dari Majalah Q&A Isu #03
Ustaz Abdul Majid Hassan
Perawat Akademi Rawatan Islam Nur Ehsan (AKRINE)
No comments:
Post a Comment